di lorong sunyi
si gadis sunti menyanyi nyanyi
sambil menyepak tin tin minuman bertaburan
ditemani bunyi
mp3 yang baru dibeli
dang!
ohh bunyi itu kuat
gadis itu berpaling dan menoleh
fikirnya tikus jahat
atau anjing yang hidup melarat
atau bunyi yang dibuat buat
sebenarnya
si gadis cuma tiga puluh saat lewat
waktu itu
tubuh kecilnya direntap kuat
didukung dan didakap erat
keringat mengalir laju
rasa loya bertamu
makhluk bertopeng meluru
setiap helaian dilurut
si gadis terkejut
menangis dan meronta
kehormatannya direnggut
dicabut bagai rumput
malam itu
gadis kecil sudah tidak mahu hidup lagi
kerana nyawanya seperti sudah dicabut
akhirnya ditinggalkan begitu saja
di tepi jalan tanpa sesiapa
hanya ditemani gelap dan gelita
kasihan si gadis
harganya hilang begitu saja.
I don't have much friends so this is mine. I talk to it but I do welcome you to read and comment.
Sunday, August 12
Langit Petang.
Langit petang yang ahmar
Tuntun mataku yang samar
Memandang pria yang gusar
Kerna hilangnya cintanya yang besar
Dekati si pria, makin mendekat makin hati aku lanar
Kerna cinta hatinya aku yang bubar
Aku yang pecahkan dengan kasar
Aku yang ciptakan abar
Aku yang tinggalkan debar
Kerna pria lain yang aku kejar
Cinta yang ada diabur abur
Serpihan jiwa raga yang sakit ditabur tabur
Segala dendam jahat dihambur
Buat pria berhati luhur
Tetapi
Segala cinta dihulur
Buat pria yang hati sifatnya pujur
Lalu aku henti dan undur
Biarkan si pria yang keras kejur
Masih merenung takdir yang kabur
Langit petang muncul lagi
Pria itu masih menanti
Walau gadisnya lari
Dia sangat pasti
Dan hatinya tahu sekali
Akan ada seorang lagi
Yang akan kembali
Dan bawa dia pergi
Dari jatuhan katil mimpi
Dengan si gadis adi
Saturday, August 4
.....................
Lelaki itu berpakaian santai, duduk
di kerusi batu di tepi Masjid Biru. Dia melihat ke kiri ke kanan, lihat
gadis-gadis berjubah dan bertudung labuh. Ah cantiknya, fikirnya dalam hati.
Tunduk semula setelah beberapa saat, menjaga pandangan barangkali. Sekali lagi, dia berkira kira mahu memandang
sekeliling, melihat apa yang boleh dilihat. Ah, tunduk semula.
Dia mengangkat kepala. Seorang lelaki kelihatannya
berusia tiga puluhan duduk di tepinya. Keras bunyinya gaya duduk itu. Memegang
gitar, dengan selipar jepun dan jeans koyak di lutut, dipandangnya jelik lelaki
itu. Entah siapa, singgah masjid tetapi tak solat pun. Inilah dunia akhir
zaman, masjid hanya tempat melepaskan lelah. Keluhnya, juga berbunyi keras.
Kedua dua mereka diam. Sepi
berbunyi. Akhirnya, si lelaki alim memulakan bicara.
“Buat apa di sini? “
“Ah, takkan main boling pula di
sini.” Angkuh bunyi jawapannya.
“Marah bunyinya. “
“Tidaklah. Seronok. “
Lelaki alim diam. Ah, bukan jenis
boleh dibawa bersembang ni.
“Kau pula buat apa di sini?”
“Aku? Tentulah baru lepas solat. Takkan
datang sini nak menari pula. “ Dipulangkan paku buah keras.
“Aku agak, kau mesti parti PAS kan? “
Ah, soalan apa pula ni, fikirnya
pantas.
“Mestilah, aku kan orang Islam.”
“Oh ya? Jadinya parti yang lain itu
bukan Islam? Mereka sembah tuhan apa ya?”
“Tidaklah begitu. Cuma aku di pihak
yang benar. “
“Oh ya? Nama kau dah ada di pintu
syurga? “
“Manalah aku tahu, itu bukan urusan
aku. “
“Jadinya, siapa yang mengatakan kau
di pihak yang benar? Oh agaknya buku amalan kau dah diangkat. Kanan sahaja
diberinya. Pastilah begitu kan. “
“Engkau ini siapa?”
“Aku? Orang yang hina. Kau sudah ada
teman wanita? “
“Bercinta itu haram hukumnya.”
“Engkau ini bertuhankan apa? Siapa
pula yang cakap bercinta itu haram?”
“Tentulah. Cinta itu membawa kepada
kelalaian dan menghampiri zina. “
“Bodoh juga engkau. Selama ini untuk
apa kau sembah tuhan itu? Bukan kerana cinta? Untuk apa kau tunduk bangun
mengerjakan perintah-Nya? Bukan juga kerana cinta? “
“Tentulah cinta. Cinta kepada Allah
dan Rasul itu lain daripada cinta kepada manusia. “
“Engkau ini sungguh bodoh. Rasul
juga manusia. Engkau sebenarnya tahu atau tidak definisi cinta itu?”
Diam tidak berkutik.
“Engkau pasti belum berkahwin, dan
engkau pasti mahu berkahwin awal, kononnya untuk mengelakkan zina. “
“Tentulah. Kahwin muda dapat
mengelakkan zina. ”
“Tak faham juga aku. Lelaki berlagak
alim ulama seperti kau ini niat berkahwin untuk mengelakkan zina. Bagaimana
orang-orang seperti kalian yang kononnya alim warak ini boleh terjerumus kepada
zina? Bukankan hidup kalian kerana tuhan semata? Bagaimana orang seperti aku
tidak mahu berkahwin awal sedangkan aku ini lebih mudah terdedah kepada zina? Bagaimana
kalian fikir yang kalian akan melakukan zina sedangkan kalian sangat menjaga
segala-galanya? Aku tahulah sekecil kecil ingatan kepada wanita juga boleh
dipanggil zina, tetapi itu dengan hadirnya nafsu. Apakah kalian ingin berkahwin
hanya demi nafsu semata? Ataupun kalian tidak punya cara lain untuk mengelakkan
zina selain daripada berkahwin? Bukankah puasa juga boleh mencegah itu? Atau
kalian tidak mampu sebenarnya menahan nafsu kalian? Dan apa yang membuatkan kalian fikir yang tanggungjawab kalian selepas berkahwin hanya sekadar menyalurkan nafsu dengan jalan yang halal? “
Lelaki alim bangun, meninggalkan
kesan panas di atas kerusi batu di tepi Masjid Biru.
Lelaki kedua juga bangun, berjalan
perlahan lalu disandarkan gitarnya di tiang masjid, menuju hadrat tuhan. Di
tangannya ada plastik kuning berisi pakaian bersih. Penyamarannya selesai untuk
hari itu.
13 Julai 2012.
Subscribe to:
Posts (Atom)