Monday, January 2

malam yang manis.

(buat A. Rahman dan Rohmah)

Kata bersahut salam bersambut
Hujan gerimis turun berderai
Berarak sebuah utusan
Bersama tepak sirih dari Landak Paya
ke Kampung Rambong merestu harap.

Di tikar sila anyaman berbunga
Bersila teruna penuh budi
Dara di langsir berkulum senyum
Tanda hajat manis menjelma.

Malam ini 12 Rabiuawwal
Bersahut nama huruf senada
Nama ayah dan mentua seiring kata
Terkabul ijab keredhaan ternanti
Terdakaplah sepasang hati.

Aku yang turut mengiringi
Terkenang sejarah dihayati
Cintanya berbunga di musim cuti
Hingga aku jadikan sebuah puisi.

Rahman dan Rohmah
Dua insan sudah berkeluarga
Teramanah sudah harapan impian
Mekar harum setaman
Gunung damai usah diruntuhi
Jurang perbezaan jangan digali
Hati gajah sama dilapah
Cecahlah jua si hati nyamuk
Jika senyum manis berbunga
Berbalah tangis jangan dihina
Kerana kita tak pernah ada semua sempurna.

ikhlas oleh: SHAARI A. B.

No comments:

Post a Comment