Thursday, April 25

Bangun, gadis bodoh.

Entri ini untuk kau, gadis yang selalu perasan comel.

Kau selalu tanya aku, "Adakah dia masih sukakan aku?" , "Adakah dia akan balik dan dapatkan aku?" 

Jawapan aku, takkan kalau kau tak berubah dan terus gilakan dia macam ni.

Penat aku ceritakan pengalaman aku, tapi kau tak ambil pengajaran dan terus jadi bodoh.

Sudah tiga tahun aku buang rasa sakit itu, hingga aku tak mahu ingat secebis pun kenangan itu. Sungguh, sakit dan tak ada siapa yang mampu bayangkan. Rasa disiat-siat, rasa dicampak ke dalam laut hitam, juga rasa disepak masuk ke dalam tong sampah waktu itu. Sakit, sungguh. Dan aku faham rasa yang kau rasa, kerana kisah kita hampir serupa, hanya hampir serupa dan bukan serupa. Sebab itu aku cakap, tak ada siapa yang mampu bayangkan itu.

Bodoh?
Ya, memang kau bodoh. Bodoh terus tunggu dia yang memang tunjukkan terang terangan yang dia memang mahu jauhkan diri dari kau. Ya, aku faham dengan ayat, "Tuhan itu Maha Membolak Balikkan hati manusia, aku akan terus berdoa. " 

Ya, doalah sepuas hati kau. Tapi buka juga mata dan hati, buka luas luas. Kau tak mahu ayah anak-anak kau nanti seorang yang gila perempuan begitu, dan jauh dari Dia. Buka mata hati kau, instead kau terus berdoa "Tuhan, kembalikan dia." , berdoalah "Tuhan, berilah aku yang terbaik. Jika bukan Dia, berikan yang lebih baik dari dia. "

Ya, tiada masalah, berdoalah biar dia berubah, tapi jangan terus tutup mata hati kau untuk orang lain. Mungkin Allah mahu berikan kau peluang baru, pengalaman baru. Ambillah dan mulakan hidup baru. Oh ya, pandang belakang sekejap, lihat masa lepas dan mulakan pandang semula ke depan. Dan mula  melangkah. Jangan risau, kau tak akan jatuh lagi. Kerana aku lihat kaki kau sudah cukup kuat untuk melangkah dan berjalan, malah berlari pun. Semoga engkau berjaya. 

Saturday, March 23

A Story.

A Story.

Lately, I feel a sense of being an only human being alive on earth. Of all people around me, I feel alone. Alone in my own world. Alone I feel no one realize if I touch them in whatever part of their bodies. Alone I feel no one listens to my whisper. I am in pain. I am sad. I am deserted. I am being abandoned. I am being neglected. I have no one. I got nothing to give back.

     Staying in that world, giving me some spaces to think. Think of what kind of people do I really need, what kind of people do I really want to mingle, what kind of people do I really want to rely on and ask for favour, and so on. The thought of being that type of human being irritates me. It hurts. It hurts so much I want to be killed in my past. I want to fade away from time and space. Sigh. I am still exist. Touch my hand. I am still alive. Still exist in this a so-called  perfect world.

      "Don't you have a lot of friends?" "I do. I do. But you know what? I can't call every people a friend. Friend is not someone who talk politely to me with the sweetest voice I could never imagine , and talks bad about me at other times. Friend is not someone who ask me to follow him or her everywhere he or she want, but when my time comes, he or she refuses. Friend is not someone who help me with no frown, no sigh, no bad words and one month later he or she keep on bringing up the past."

"She asked, "So what did you call me? A friend or what? " "You? Yeah, a so-called friend. Fullstop."

She turned around and walked. Never look back and look at me, never look for me again. That was last I met her and that was last I talked to her. So my assumption was right. She is a so-called friend all this while.

Saturday, November 3

Cerita Cinta Gadis.


Berikan aku tinta dan sebatang kayu kecil, akan ku karangkan secangkir syair yang akan buat dunia berubah rasa dan juga fikiran mereka. Berikan juga aku secawan cinta, akan ku gubahnya menjadi madu bahagia selama lamanya. Ini cerita mereka. Cerita yang mereka  punya di dalam kotak hati yang sering bertukar figuranya: bahagia, derita, bahagia, dan lebih banyak derita dari bahagia. Cerita yang aku ukir di batu belas kasihan seorang saudara. Yang selalu mengintai kisah mereka.

Sungguh, cinta buatkan dia jadi bagai air mata awan yang tidak dirancang jatuhannya, dan orang yang memandang hanya mampu memandang tanpa mampu berbuat apa, hanya mampu meminta belas kasihan penciptanya. Tidak ada mampu menukar cerita cintanya, walau bagaimanapun perancangan dan gubahannya, walau bagaimanapun janji mereka. Tapi, dia bilang, ia bukan sekadar cerita, ia lebih dari sekadar segunung puisi drama dunia, ia lah kalimat kalimat indah dari syurga dunia atas paksinya. Ciptaan dia. Ya, pria itu. Pria itu yang buatkan dia jadi jasad tanpa rohnya, yang buatkan dia jadi setiap tujahan panah beracun tanpa arahnya, dan juga sekadar menjadi patung sembahan yang langsung tidak mampu berbuat apa apa. Kerana cinta.

   Pria itu aneh. Pria itu seorang pendita agung yang datang secara tiba tiba dalam hati dia, seperti seekor lebah yang menjeru sekuntum bunga mekar demi madunya, dan setelah itu, tidaklah dibuang cuma ditinggalkan, tidak seperti perumpamaan yang berbunyi ‘habis madu sepah dibuang’. Dia pula hanya melekat di kuntumnya, hanya membiarkan lebah itu hinggap dan merasa madu cintanya, walaupun sekadar sedetik dua detik cuma, nikmatnya lain daripada biasanya. Bukannya dia tidak pernah merasai cinta, cumanya, cinta yang datang kali ini aneh rupanya. Jauh dari jangkauan mimpi mimpi indah seorang manusia yang mengagungkan cintanya. Oh agungnya.
    
    Pria itu bisa buatkan dia terawang awang di tengah antara bumi panas derita dunia dan juga langit agung berisi syurga, dan juga khayalkan dia dengan arak cinta sucinya. Ah, juga lupakan dia dengan derita cinta masa lalunya. Juga jadikan dia jasad yang penuh warna warni katanya, bahasanya, bicaranya. Sungguh, pria itu mengubah segala galanya tentang dia. Detiknya sekejap cuma, tapi pria itu ubahnya seperti mengubah dunia! Perinya mencairkan setiap kepingan duka dan ego wanita punya dia.

Cinta mereka suci, bak salji memutih di waktu pagi. Bak embun yang jatuh menyembah bumi setiap pagi. Cinta mereka, jauh lebih agung dari semua penangan cinta agung sang dewa dewi dan segala entiti. Jauh agungnya mencapai infiniti, dan tingginya mencapai syurgawi. Tak dapat digambarkan dengan butir-butir bicara sang pemimpi. Juga tak dapat digambarkan oleh lukisan atas kanvas impian gadis ini.

   Setelah termeterai janji satu hari waktu mereka akan menamakan cinta itu bahagia, membina teratak dari gunung salji cinta mereka berdua, setelah penat gunung cinta mereka berdua dilelah, oh hari itu. Hari di mana segala arak, gunung, dan bunga cinta mereka hangus dalam satu bakaran berita yang membawa duka derita. Bahana berita itu yang hantar prianya ke syurga Tuhan, bukan bersama sama seperti janji mereka, tetapi hanya sang pria menuju ke sana. Tangannya hanya mampu mencapai gerbang syurga menghantar roh sang pria tetapi tidak mampu memasukinya. Oh gadis itu sedih. Airmatanya menggegar pohon pohon syurga teduhan sang pria. Awan yang membawa air mata gembiranya menanti hari bahagia, kini mencari bahu langit memuntahkan segala. Mencari awan lain berkongsi derita memuntahkan air mata jernih mereka.
    
    Sekarang, gadis itu mahu pamit dari dunia cinta yang dihulur dari pria mana pun. Dia sudah terpana dengan setiap satu cerita cinta gagalnya. Kali ini, dia hanya menunggu kematiannya. Yang mampu bawa dia berjumpa prianya. Yang mampu bawa dia naik ke langit arasy merayu Tuhannya untuk berjumpa sang pria. Yang mampu hantarkan dia oleh bidadadari syurga ke pohon teduhan prianya. Semuanya kerana sang pria, walaupun dia tidak tahu, prianya sudah bahagia bertemu bidadari sebenarnya. Di atas sana. 

Sunday, August 12

kakirogol.

di lorong sunyi
si gadis sunti menyanyi nyanyi
sambil menyepak tin tin minuman bertaburan
ditemani bunyi
mp3 yang baru dibeli

dang!
ohh bunyi itu kuat
gadis itu berpaling dan menoleh
fikirnya tikus jahat
atau anjing yang hidup melarat
atau bunyi yang dibuat buat

sebenarnya
si gadis cuma tiga puluh saat lewat
waktu itu
tubuh kecilnya direntap kuat
didukung dan didakap erat

keringat mengalir laju
rasa loya bertamu
makhluk bertopeng meluru
setiap helaian dilurut
si gadis terkejut
menangis dan meronta
kehormatannya direnggut
dicabut bagai rumput
malam itu
gadis kecil sudah tidak mahu hidup lagi
kerana nyawanya seperti sudah dicabut

akhirnya ditinggalkan begitu saja
di tepi jalan tanpa sesiapa
hanya ditemani gelap dan gelita
kasihan si gadis
harganya hilang begitu saja.

Langit Petang.


Langit petang yang ahmar
Tuntun mataku yang samar
Memandang pria yang gusar
Kerna hilangnya cintanya yang besar

Dekati si pria, makin mendekat makin hati aku lanar
Kerna cinta hatinya aku yang bubar
Aku yang pecahkan dengan kasar
Aku yang ciptakan abar
Aku yang tinggalkan debar
Kerna pria lain yang aku kejar

Cinta yang ada diabur abur
Serpihan jiwa raga yang sakit ditabur tabur
Segala dendam jahat dihambur
Buat pria berhati luhur
Tetapi
Segala cinta dihulur
Buat pria yang hati sifatnya pujur
Lalu aku henti dan undur
Biarkan si pria yang keras kejur
Masih merenung takdir yang kabur

Langit petang muncul lagi
Pria itu masih menanti
Walau gadisnya lari
Dia sangat pasti
Dan hatinya tahu sekali
Akan ada seorang lagi
Yang akan kembali
Dan bawa dia pergi
Dari jatuhan katil mimpi
Dengan si gadis adi

Saturday, August 4

A rainbow.

A slight change. A slight improvement. But still, thank you Allah. :)

.....................


Lelaki itu berpakaian santai, duduk di kerusi batu di tepi Masjid Biru. Dia melihat ke kiri ke kanan, lihat gadis-gadis berjubah dan bertudung labuh. Ah cantiknya, fikirnya dalam hati. Tunduk semula setelah beberapa saat, menjaga pandangan barangkali.  Sekali lagi, dia berkira kira mahu memandang sekeliling, melihat apa yang boleh dilihat. Ah, tunduk semula.

 Dia mengangkat kepala. Seorang lelaki kelihatannya berusia tiga puluhan duduk di tepinya. Keras bunyinya gaya duduk itu. Memegang gitar, dengan selipar jepun dan jeans koyak di lutut, dipandangnya jelik lelaki itu. Entah siapa, singgah masjid tetapi tak solat pun. Inilah dunia akhir zaman, masjid hanya tempat melepaskan lelah. Keluhnya, juga berbunyi keras.

Kedua dua mereka diam. Sepi berbunyi. Akhirnya, si lelaki alim memulakan bicara.

“Buat apa di sini? “

“Ah, takkan main boling pula di sini.” Angkuh bunyi jawapannya.

“Marah bunyinya. “

“Tidaklah. Seronok. “

Lelaki alim diam. Ah, bukan jenis boleh dibawa bersembang ni.

“Kau pula buat apa di sini?”

“Aku? Tentulah baru lepas solat. Takkan datang sini nak menari pula. “ Dipulangkan paku buah keras.

“Aku agak, kau mesti parti PAS kan? “

Ah, soalan apa pula ni, fikirnya pantas.

“Mestilah, aku kan orang Islam.”

“Oh ya? Jadinya parti yang lain itu bukan Islam? Mereka sembah tuhan apa ya?”

“Tidaklah begitu. Cuma aku di pihak yang benar. “

“Oh ya? Nama kau dah ada di pintu syurga? “

“Manalah aku tahu, itu bukan urusan aku. “

“Jadinya, siapa yang mengatakan kau di pihak yang benar? Oh agaknya buku amalan kau dah diangkat. Kanan sahaja diberinya. Pastilah begitu kan. “

“Engkau ini siapa?”

“Aku? Orang yang hina. Kau sudah ada teman wanita? “

“Bercinta itu haram hukumnya.”

“Engkau ini bertuhankan apa? Siapa pula yang cakap bercinta itu haram?”

“Tentulah. Cinta itu membawa kepada kelalaian dan menghampiri zina. “

“Bodoh juga engkau. Selama ini untuk apa kau sembah tuhan itu? Bukan kerana cinta? Untuk apa kau tunduk bangun mengerjakan perintah-Nya? Bukan juga kerana cinta? “

“Tentulah cinta. Cinta kepada Allah dan Rasul itu lain daripada cinta kepada manusia. “

“Engkau ini sungguh bodoh. Rasul juga manusia. Engkau sebenarnya tahu atau tidak definisi cinta itu?”

Diam tidak berkutik.

“Engkau pasti belum berkahwin, dan engkau pasti mahu berkahwin awal, kononnya untuk mengelakkan zina. “
“Tentulah. Kahwin muda dapat mengelakkan zina. ”

“Tak faham juga aku. Lelaki berlagak alim ulama seperti kau ini niat berkahwin untuk mengelakkan zina. Bagaimana orang-orang seperti kalian yang kononnya alim warak ini boleh terjerumus kepada zina? Bukankan hidup kalian kerana tuhan semata? Bagaimana orang seperti aku tidak mahu berkahwin awal sedangkan aku ini lebih mudah terdedah kepada zina? Bagaimana kalian fikir yang kalian akan melakukan zina sedangkan kalian sangat menjaga segala-galanya? Aku tahulah sekecil kecil ingatan kepada wanita juga boleh dipanggil zina, tetapi itu dengan hadirnya nafsu. Apakah kalian ingin berkahwin hanya demi nafsu semata? Ataupun kalian tidak punya cara lain untuk mengelakkan zina selain daripada berkahwin? Bukankah puasa juga boleh mencegah itu? Atau kalian tidak mampu sebenarnya menahan nafsu kalian? Dan apa yang membuatkan kalian fikir yang tanggungjawab kalian selepas berkahwin hanya sekadar menyalurkan nafsu  dengan jalan yang halal? “

Lelaki alim bangun, meninggalkan kesan panas di atas kerusi batu di tepi Masjid Biru.

Lelaki kedua juga bangun, berjalan perlahan lalu disandarkan gitarnya di tiang masjid, menuju hadrat tuhan. Di tangannya ada plastik kuning berisi pakaian bersih. Penyamarannya selesai untuk hari itu.

13 Julai 2012.