Friday, March 2

entri tiada tajuk.

Riana tersenyum. Matanya melirik tepat pada wajah budak lelaki itu. Budak lelaki itu darjah enam. Budak kelas belakang. Tentunya tidak pandai seperti dia. Dia pandai. Selalu dapat nombor dua atau tiga dalam kelas. Dia budak kelas pertama. Riana tahu, walaupun budak lelaki itu bodoh, dia suka melihat budak lelaki itu senyum. Senyum budak lelaki itu manis sekali.

Mereka selalu katakan dia aneh kerana bergaul dengan budak kelas belakang. Dia hairan, kenapa kepandaian dijadikan ukuran untuk berkawan? Dia tidak kisah langsung kerana walaupun mereka kelihatannya bodoh bodoh alang, dan memang bodoh dalam bahasa kasarnya, tetapi dia suka kerana mereka tidak sombong. Mereka melayannya bagai kawan kawan sendiri. Tak ada beza. Dan sungguh, dia sudah mula suka dengan budak lelaki itu. Dia. Syafiq namanya. Dia rasa Syafiq lucu. Dan budak budak kelasnya juga lucu. Setiap hari dia lihat, mereka tidak belajar. Mereka bermain tiang, jengket jengket, dan kadangkala guli yang dibawa bersama ke sekolah setiap hari.

Seronoknya ke sekolah sekarang sudah lain. Bukan kerana mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar oleh Cikgu Osman itu seronok, bukan kerana suka memakai baju sukan, tetapi kerana budak lelaki itu. Masih sama sebabnya sejak akhir akhir ini. Kerana senyum budak lelaki itu. Syafiq.

Riana rasa, itu kali pertama dia sukakan seorang lelaki. Suka yang buatkan dia mahu terus ke sekolah, dan mahu terus memandang si pencuri hati kanak-kanak kecil sepertinya.

Setahun lebih berlalu. Riana masih seronok ke sekolah. Masih suka mengayuh basikal masuk ke sekolah melalui jalan belakang. Masih suka memandang kelas di hujung koridor dengan hati berbunga bunga. Masih suka berdiri di koridor setiap kali rehat, dan memandang satu figura yang punya senyum comel. Dia tidak pernah jemu lakukan itu sejak setahun lebih yang lalu.

Hari itu, 23 Januari. Waktu itu dia sedang mengemas beg. Kelas terakhir baru saja tamat lima minit yang lalu. Riana menyeret kaki lambat lambat ke tangga, matanya memerhati ke hujung, kelas 6 Kreatif. Kelas belakang. Hampa. Syafiq tidak ada. Ke mana dia hari ini? Riana lalu berjalan lambat turun tangga, dan matanya masih tak lepas dari pintu kelas itu. 

Turun tangga, dia berhenti di depan pagar kawat hijau, memerhati jalan belakang. Aneh. Dilihatnya Syafiq dengan basikal buruk merahnya di hujung jalan, melambai lambai sambil tersenyum manis. Riana terpempan. Bibirnya menyungging senyuman manis juga untuk dibalas kepada Syafiq namun sudah tidak ada sesiapa di jalan belakang sekolah itu. Aneh. Baru tadi dia nampak.

Jumaat berlalu pergi. Bosan. Riana tidak sabar hendak ke sekolah. Sudah tidak betah di rumah. Rindu hendak berbalas senyuman dengan Syafiq lagi. Dia baring atas katil satu tingkat bersaiz permaisuri. Berkeriut keriut bunyinya. Telinganya menangkap satu suara. Bukan. Dua suara. Bukan. Satu nama sebenarnya. Syafiq! Dia bingkas bangun dan berlari ke pintu. Terdengar suara abah dan mamanya berbual, ditemani seteko air teh pekat, dua cawan putih vantage dan sepinggan pisang goreng hangat. Dia diam. Sungguh dia tidak pernah mendengar mama dan abahnya berbual, tapi kali ini, nafasnya turun naik cepat. Bagai baru berlari pecut dalam larian sukan sekolah. Juga seperti ketika nafasnya turun naik tika Abang Jih bawa kereta melebihi 140 kilometer sejam, melalui jalan kampung Tok Besah yang banyak lembu berkeliaran. Riana baring semula selepas lima minit. Dicubit pipi kanan yang pejal. Sakit. Dicubit pipi kiri. Sakit. Ditepuk paha putihnya. Juga sakit. Dia menggeleng. Bukan.Tidak ada apa apa agaknya. Cukup lima minit, matanya mula terpejam. Tidurnya lena sehingga pukul enam petang. Terjaga. Dia mimpikan sungai. Dia nampak Syafiq bermain wau di tepi sungai. Dia nampak Syafiq tongkatkan basikalnya di tepi tebing. Tapi, mana kawan kawannya? Syafiq tidak pernah bermain sendirian. Mana Zukfikri? Mana Hafiz? Mana yang lain? Dia tersenyum sumbing mengingatkan mimpi itu dan tidur semula.

Riana bangun keesokan paginya dengan mata sembab. Terlebih tidur. Selepas mandi dan bersolat, mama menghampirinya dan berkata, “Syafiq dah tak ada.” Dia tidak faham. Tidur yang lama buatkan otaknya lambat mencerna sepatah ayat mama. Langkah perlahan diatur ke basikal di depan halaman. Dikayuh perlahan. Tanpa tenaga. Tanpa rasa. Pagi ini rasanya aneh. Mendung. Kelam. Hambar.

Di pagar sekolah, dia lihat semua orang berbisik bisik. Ada cerita sensasi. Basikal ditongkat. Jalan menghampiri satu kumpulan. Kawan kawan sekelas Syafiq. Riana berhenti. Dia teringat sesuatu. Mahu bertanya. “Betul mama aku cakap Syafiq dah mati?”. Qayyum, si pondan paling bangang dalam kelas Syafiq menjawab dengan gelak tawa hilai yang kuat,” Ya, Syafiq dah mati. Padan muka dia. Hahahahahaha. “ Bangang. Memang bodoh. Gila apa gelakkan orang mati begitu. Eh tidak, Syafiq belum mati. Kenapalah, semua orang hendak bergurau ketika ini. Baru Januari, belum April lagi. Bukannya dia tidak tahu tentang satu April itu hari April Fool.  Hari untuk kenakan orang.

Dia tidak pergi perhimpunan.  Menyorok di bawah meja guru di dalam kelas. Kenapa, dia pun tidak tahu. Dia cuma ingin jauhkan diri dari satu berita. Dia cuma tidak mahu dengar cerita itu. Bukan hanya perhimpunan, sepanjang hari dia jauhkan diri dari orang yang bercakap dalam kumpulan.  Waktu rehat datang, dia berjalan perlahan ke kelas 6 Kreatif. Mengintai dari tepi pintu. Syafiq tidak ada. Pergi makan agaknya. Kan waktu rehat. Dia tersenyum. Dia akan berdiri di depan kelas. Di koridor. Dia pasti dia akan nampak Syafiq masuk ke kelas nanti. Syafiq suka bermain di koridor selepas makan. Berlari tanpa henti. Dengan pembaris kesayangannya. Dan memukul mukul semua orang. Bergurau. Dia mahu lihat senyum manis itu.

Sudah lima minit, sepuluh minit, bayang Syafiq pun tidak kelihatan. Riana mendengus resah. Cikgu Alias sudah menunggu di bawah. Di makmal sains. Walaupun cikgu Alias abang iparnya sendiri, dia tidak berani lambat. Rotan di tangan cikgu itu sudah cukup buatkan dia kecut perut. Cepat cepat dia berlari ke dalam kelas, capai buku teks sains dan buku latihan, langsung berlari ke bawah. Ke makmal sains. Oh, dia orang terakhir yang masuk ke makmal. Cikgu Alias memandangnya sepi. Entah apa yang berlaku. Semua orang macam memandang dia aneh hari ini. Dia tidak peduli. Buku teks dipandang kosong. Tiada apa yang masuk ke otaknya pada waktu itu.

Kelas terakhir tamat. Beg di atas kerusi biru ditarik kuat dan digalas kasar. Langkah diatur. Dia mahu tunggu di tepi pagar hijau lagi. Mahu melihat Syafiq melambainya lagi. Dua hari lepas, seronok benar dia. Kali ini, dia mahu membalas lambaian itu cepat. Biar Syafiq lihat senyuman manis dia. Tunggu lima minit, Syafiq belum muncul. Peluh sudah menitik nitik. Kaki sudah lenguh berdiri. Syarfina datang menghampiri. “Tunggu apa?”. “Tak ada apa apa.” Syarfina menarik tangan Riana. Direntap kuat. “Jangan kacau aku. Pergi balik dulu. “ Syarfina cuma mengangkat bahu. Jalan tidak menoleh lagi. Marah barangkali. Biarkan. Hatinya tidak tenteram.

Sudah dua puluh minit. Dia buat keputusan pulang ke rumah. Petang ini ada latihan sukan. Untung untung Syafiq ada. Walaupun tidak masuk apa apa, tapi Syafiq suka merayau di depan sekolah dengan basikal merah buruknya. Dengan kawan kawan yang bodoh bodoh alang itu. Dengan Zulfikri. Dengan Hafiz. Jadi Riana ingin pulang dulu. Letih menunggu.

Petang itu, selepas latihan sukan, Riana ingin tunggu lagi. Jam sudah 6.30 petang. Mundar mandir di pagar sekolah. Sekejap sahaja, fikirnya. Mungkin Syafiq lalu nanti. Amira, kawan sekelasnya menghampiri. “Sudah tengok paper?Metro. Ada berita pasal Syafiq.” Dia tak tunggu lagi. Dengan poket seluar kosong tak berisi, dia kayuh laju laju pulang ke rumah. Laju. Badannya basah dek peluh. Bukan hanya badan, pipinya juga basah. Meluru masuk ke dalam rumah. Capai duit syiling, entah berapa dan meluru keluar. Mama jerit dari dapur. Entah apa dia sudah tidak dengar. Kedai Hasan dituju. Dikayuh selaju yang boleh. 6.45 petang. Dia nampak Harian Metro. Tinggal satu. Basah tangannya ketika menghulurkan duit syiling. Dia sudah tidak peduli lagi. Basikal terhoyong hayang dikayuh. Kali ini perlahan. Pandangannya kelam. Kabur. Tapi dia tidak berhenti. Terus berkayuh.

Riana rasa rumahnya sepi. Masuk ke bilik dan menghempas pintu. Tangan terketar ketar. Diselaknya halaman dua. Direnung tajam. Dibaca satu satu aksara. Dia lemas dalam ombak perasaannya sendiri. Dia baru darjah lima. Darjah lima. Tapi dia sudah faham apa itu erti cinta. Belum dibaca habis, pandangannya gelap. Kertas surat khabar itu basah lencun. Lagu dendangan Hijjaz ‘Kau Sahabat Kau Teman’ berkumandang di ruang dapur. Mama berdiri di ambang pintu biliknya. Memandang sayu. Kertas basah itu dicapai.
Murid Darjah Enam Lemas.

 Nota kaki:

Muhammad Syafiq Mohd Daud lemas ketika membuat wau di tepi sungai. Jatuh ke dalam sungai kerana kakinya tersekat ke dalam pasir jerlus di tebing sungai. Dan mati kerana buluh halus yang ingin digunakan untuk membuat wau tercucuk ke lehernya sendiri ketika sedang bertarung dengan pasir jerlus dan air sungai deras. 

25 Januari 2003. Sabtu. Takziah. Al-Fatihah.