Friday, June 29

Keliru.


Dia baring di atas katil hospital. Mukanya kelihatan keruh dan air matanya mengalir. Dia baring, dan kelihatan seperti tidur, tetapi bayangan yang dilihatnya berjalan di sekeliling katil. Pakaiannya hijau gelap, tetapi berkaki ayam.
                Perjalanan menuju tuhan itu aneh, fikirnya. Dia bukan berada di lapisan-lapisan langit yang sepatutnya menemukan dia dengan tuhan, tetapi dia berada di atas air. Entah, luasnya seperti di atas lautan semedera yang tidak nampak penghujungnya. Sama seperti langit yang tidak ada hujungnya.

Dia berjalan perlahan di atas air yang keruh. Entah kemana yang dia tuju. Entah arah utara, selatan, timur atau barat yang harus dia pergi. Berjalan tanpa arah tujuan begini memang meletihkan.  Nun di kejauhan, kelihatan salib yang besar menongkah langit. Tanda yang kelihatan seperti simbol tambah itu bagai menggamitnya datang, memanjat tiang maha besar itu untuk mencapai hadrat tuhan. Digagahi dan dipaksa kakinya berjalan, menuju hadrat Tuhan yang dia nampak. Semakin hampir, dilihatnya tangan besar menghulurkan sebuah bejana berisi air suci. Tiba-tiba, pang!

Dia kembali berada di katil hospital, mengelilingi  jasadnya sendiri yang terbaring lesu di atas katil.  Seperti tadi, sesudah tujuh kali bertawaf mengelilingi katil hospital, dirinya kembali berada di dunia lain.
Kali ini, dia berada di rumah itu. Di rumah berbulan bintang yang biasa dia pergi. Dia ingat. Di rumah itu, dia selalu tunduk bangun mengerjakan ibadah kesukaannya. Di situ juga, dia sering mencari kekuatan diri dan mencari dirinya sendiri yang sering hilang. Dilihatnya beberapa orang alim membaca kitab itu. Ya, kitab kesukaannya sejak dua puluh tahun yang lalu. Dilihatnya juga beberapa orang lagi sedang melakukan ritual penyembahan. Apa yang mereka sembah? Dia hairan.

                Lima minit kemudian, pang!

                Dia kembali berada di katil hospital. Masih mengelilingi dirinya sendiri di atas katil. Tujuh minit kemudian, dia sudah tidak ada di dalam bilik itu lagi. Bunyi loceng menggamit perhatian. Diangkat kepalanya perlahan. Dia terkejut. Dia nampak tuhan yang aneh di hadapannya. Perutnya buncit, rantai emas tergantung di leher tuhan itu. Tangan tuhan itu juga tidak terkira banyaknya, seperti meminta dia meletakkan tangannya di salah satu tangan tuhan itu. Mata tuhan itu memandang dia tepat. Pang!

                Dia sudah letih berjalan. Pulangnya ke biliknya sendiri, berharap tidak akan ada lagi perjalanan itu. Dia benar-benar sudah letih. Dia berdiri di pintu bilik, memandang sepi jasad yang terbujur kaku di atas katil. Pilihannya pasti tepat, fikirnya. Dia berjalan perlahan menembusi jasad itu. Dipilihnya yang berjari banyak. Hanya kerana tuhan itu dia nampak. Allah itu tidak ada, katanya lagi. Perjalanannya mencari tuhan sudah berakhir.

Wednesday, June 6

celaka.


Yang atas membakar
Yang bawah memancar
Buatkan dunia jadi Padang Mahsyar
Ngauman alam berbunyi kasar
Kerana makhluk durjana yang membuat onar.

Mereka marahkan Tuhan
Air mata langit ditahan tahan
Hamparan luas tidak lagi menjadi dahan
Syaitan Azazil bersorak keriangan.

Tuding jari salah belaka
Yang tahu hanyalah marah dan murka
Tangan sendiri membuat celaka
Hasil seni kotor dipandang suka.

Dunia dihentam ancaman
Neraka Jahannam dilontar geram
Mendung dan hujan tidak lagi jadi pujian
Hanya makian gambarkan takdir Tuhan
Makin murka makin hebat dugaan.

Tuhan juga sedang murka
Diberi pinjam tidak dijaga
Cukup masa diberi bala
Biar sedar si penghuni dunia
Murka Dia angkara siapa
Bala Dia juga angkara siapa.

Bila si bulat dipenggal
Tiada lagi makian yang tinggal
Hanya ada Dia yang tunggal
Mengawal cakerawala dan isinya yang dangkal.

Ketidaktercapaian.


Si gadis sunti menangis di situ
Si jejaka baju biru mendengar buntu
Dipujuk sedang kata kata manis bersatu
Buatkan si gadis tersenyum malu.

Senyumnya si gadis seperti semalu
Disentuh hanya dengan kata kata sudah terkaku
Bibir tersenyum seperti selalu
Manis menyungging bagai sang ratu.

Ohh sayangnya
Si jejaka berbaju biru mahu tapi tak mampu
Sebelah hatinya bunga lain rebut dahulu
Sayang yang amat sangat hanya berhenti di situ
Takut si gadis yang tersenyum selalu
Menangis lagi dan malu.

Cinta dan Kamu.


Cinta itu aneh
Berpusar pusar di satu tempat
Jalan bersama mulut dikunci rapat
Waktu lain, punya tiga dan empat
Tapi bila aku dengan kamu
Tak bercakap tapi masih dapat
Berbicara singkat
Hanya dua hati yang mengikat
Bicara kita jadi indah amat

Panggilan manja tak pernah dikecap
Hanya mata menyanyikan bait dan rangkap
Puisi cinta jadi pelengkap
Walau sukar diungkap
Tapi hanya hati kita dapat menangkap

Bicara cinta kamu menyejukkan hati
Buat lagu cinta kita tak pernah berhenti
Juga tak pernah mati
Walaupun hukum alam silih berganti
Walaupun entiti dunia datang dan pergi
Hingga suatu masa yang aku panggil infiniti
Ohh cinta kamu takkan berhenti
Aku dan kamu telah berjanji
Yang buat kita terpisah hanyalah
Detik yang terhenti.

Aku sayang kamu. Terlalu.