Friday, June 29

Keliru.


Dia baring di atas katil hospital. Mukanya kelihatan keruh dan air matanya mengalir. Dia baring, dan kelihatan seperti tidur, tetapi bayangan yang dilihatnya berjalan di sekeliling katil. Pakaiannya hijau gelap, tetapi berkaki ayam.
                Perjalanan menuju tuhan itu aneh, fikirnya. Dia bukan berada di lapisan-lapisan langit yang sepatutnya menemukan dia dengan tuhan, tetapi dia berada di atas air. Entah, luasnya seperti di atas lautan semedera yang tidak nampak penghujungnya. Sama seperti langit yang tidak ada hujungnya.

Dia berjalan perlahan di atas air yang keruh. Entah kemana yang dia tuju. Entah arah utara, selatan, timur atau barat yang harus dia pergi. Berjalan tanpa arah tujuan begini memang meletihkan.  Nun di kejauhan, kelihatan salib yang besar menongkah langit. Tanda yang kelihatan seperti simbol tambah itu bagai menggamitnya datang, memanjat tiang maha besar itu untuk mencapai hadrat tuhan. Digagahi dan dipaksa kakinya berjalan, menuju hadrat Tuhan yang dia nampak. Semakin hampir, dilihatnya tangan besar menghulurkan sebuah bejana berisi air suci. Tiba-tiba, pang!

Dia kembali berada di katil hospital, mengelilingi  jasadnya sendiri yang terbaring lesu di atas katil.  Seperti tadi, sesudah tujuh kali bertawaf mengelilingi katil hospital, dirinya kembali berada di dunia lain.
Kali ini, dia berada di rumah itu. Di rumah berbulan bintang yang biasa dia pergi. Dia ingat. Di rumah itu, dia selalu tunduk bangun mengerjakan ibadah kesukaannya. Di situ juga, dia sering mencari kekuatan diri dan mencari dirinya sendiri yang sering hilang. Dilihatnya beberapa orang alim membaca kitab itu. Ya, kitab kesukaannya sejak dua puluh tahun yang lalu. Dilihatnya juga beberapa orang lagi sedang melakukan ritual penyembahan. Apa yang mereka sembah? Dia hairan.

                Lima minit kemudian, pang!

                Dia kembali berada di katil hospital. Masih mengelilingi dirinya sendiri di atas katil. Tujuh minit kemudian, dia sudah tidak ada di dalam bilik itu lagi. Bunyi loceng menggamit perhatian. Diangkat kepalanya perlahan. Dia terkejut. Dia nampak tuhan yang aneh di hadapannya. Perutnya buncit, rantai emas tergantung di leher tuhan itu. Tangan tuhan itu juga tidak terkira banyaknya, seperti meminta dia meletakkan tangannya di salah satu tangan tuhan itu. Mata tuhan itu memandang dia tepat. Pang!

                Dia sudah letih berjalan. Pulangnya ke biliknya sendiri, berharap tidak akan ada lagi perjalanan itu. Dia benar-benar sudah letih. Dia berdiri di pintu bilik, memandang sepi jasad yang terbujur kaku di atas katil. Pilihannya pasti tepat, fikirnya. Dia berjalan perlahan menembusi jasad itu. Dipilihnya yang berjari banyak. Hanya kerana tuhan itu dia nampak. Allah itu tidak ada, katanya lagi. Perjalanannya mencari tuhan sudah berakhir.

No comments:

Post a Comment