Friday, April 13

Peringatan.

"Raihan, jadi girl yang baik ya. Dan hang kena ingat, letaklah seorang boy tu macam selipar, tau? Di bawah.  Nanti hang tak sakit hati dah. Aku dulu pun macam hang jugak. Tapi sekarang tak dah. Hang kena ingat, bila hang ada selipar, bila selipar tu dah rosak, hang tak boleh simpan selipar tu, sayang sangat selipar rosak tu dan berkaki ayam. Paham? "

                                                                                                                                               (Abrar, 2012)
“Aku mahu yang mistik sedikit, yang punya feng shui yang tepat, dan pelik. Seperti syurga. Aku mahu seperti syurga. Tidak pernah ada di rumah orang lain. Kamu cintakan aku kan? Boleh kamu buatkan itu?” “Untuk kamu, apa saja, sayang.“Balasnya sambil memeluk hangat tubuh lembut langsing itu. Ray mengusap rambut Natalia perlahan. Harum. Ditariknya gadis comel berbibir mungil itu ke ruangan merah menyala. Semerah cintanya pada Natalia. Alunan muzik lembut John Levine mengalun perlahan, dimainkan oleh si pelayan yang ditempah khas. Meja bulat beralaskan kain putih merah menggamit mata Natalia. Dia melangkah perlahan. Botol Martini dipegang lembut, sambil tangan kirinya memegang gelas wain berkaki tinggi. Mewah amat. Sayang benar Ray padanya. Makan malam mewah mereka, ditemani  chandeliar tinggi dan alunan muzik tenang membuai perasaan. Selesai menikmati makan malam, Ray bangun. Tubuh Natalia dirangkul hangat menuju ke tengah ruangan. Dihayunkan kaki mengikut alunan muzik, lalu bahasa badannya menggesa Natalia mengikut alunan muzik dan langkah kakinya. Mereka tenggelam dalam keasyikan perasaan dan cinta ghairah pada malam itu. Keseronokan berakhir di bilik hotel  J.W Marriot bernombor 112. Titik.

----------------------------------------------------------------

“Kenapa aku tidak boleh datang ke rumahmu? Apakah kamu menyembunyikan sesuatu dari aku? Apakah kamu menyimpan perempuan lain di rumah itu? Mengapa?” Soalnya ganas. Dia merasakan ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kekasih hatinya itu. Perempuan simpanan barangkali. Ahh, dasar lelaki. Semuanya sama saja.

Semakin lama, semakin banyak keanehan yang dilihat pada Ray. Kerap menghilang tanpa alasan, jawapan atau penjelasan. Panggilan sering tidak dijawab, dan hubungan mereka tidak sehangat dulu. Natalia mula gusar, memikirkan ada perempuan lain yang cuba menggoda sang buah hati cintanya. Manakan tidak, keenganannya untuk membenarkan Natalia datang ke rumahnya cukup buat dia gusar dan resah. Cantik manakah perempuan itu? Licik benar dia menggoda.

Natalia tidak mampu bersabar lagi. Ditekannya punat butang pada telefon bimbit Sony Ericsson W8 miliknya. Kali ke enam puluh lapan. Tutt...Tutt. Masih tidak berjawab. Dihempasnya telefon bimbit itu kuat. Bercerai casing dari telefon. Bateri disini, bahagian lain di sini. Menjadi puzzle. Dia menghempas pula tubuhnya ke sofa empuk. Berbaring malas. Lalu tertidur, dengan kemarahan meluap luap.

------------------------------------------------------------------
Terjaga. Dia merasakan badannya sakit amat. Dia merenung ke atas. Hanya ada cahaya samar samar. Aneh. Ini pasti bukan rumahnya. Natalia bingkas bangun dan tersentak. Di mana aku? Di mana? Natalia melangkah perlahan. Dia ketakutan. Dia mahu pergi dari tempat aneh ini.
Krekkkkk!

Bunyi di belakang mengejutkan. Ada pintu yang terbuka. Sepertinya pintu kondonya sendiri. Tetapi lebih cantik. Gril berukir indah berwarna emas itu terbuka sendiri. Begitu juga pintu berwarna coklat itu. Dia langsung tidak nampak siapa yang membukanya. Cahaya samar samar agaknya buatkan dia tidak nampak, fikirnya. Berjalan perlahan menghampiri pintu. Berhenti sekejap. Jalan lagi.

Natalia terbelalak. Kerongkongnya menelan air liur berkali kali. Ngeri. Bermula di pintu, ditenung pelapik kaki di depan sliding door. Aneh. Licin. Sejuk sekali. Warnanya merah coklat pekat, bersaiz lima belas kali dua puluh inci dan dihiasi corak seperti urat urat daging. Disentuh lembut. Tersentak! Itu memang kepingan daging yang nipis! Urat urat putih daging jelas kelihatan. Natalia menjauh. Kakinya dilarikan dari memijak pelapik kaki aneh itu.

                Melangkah ke dalam, matanya terus menerus terbeliak. Dia berada dalam ruangan maha aneh.  Sofanya kelihatan biasa, tetapi matanya tertancap pada kulit sofa. Natalia menjerit nyaring. Itu bukan kulit sofa. Itu kulit manusia! Warna yang berbelak belak mengejutkan dia. Entah berapa orang manusia yang dibunuh dan disiat kulitnya untuk dibuat kulit sofa ini. Pasti banyak, kerana warnanya juga banyak tona. Pasti ada yang berkulit sawo matang, kuning langsat, putih melepak dan merah merah muda. Ngeri dia memikirkan itu.

Dia terus melangkah perlahan. Kali ini lebih berhati hati. Di satu sudut, kolam buatan menggamit perhatian. Bukan hiasannya tumbuhannya bagai hutan merimbun kecil yang menarik perhatian, tetapi air terjunnya dari guri bertingkat yang mengalir masuk ke dalam kolam. Ya, yang mengalir laju ke dalam kolam itu adalah darah merah pekat, bukan air biasa. Pemilik rumah ini sangat aneh. Luar biasa. Hanyir bau darah menusuk hidung. Dia ingin termuntah. Tapi ditahannya.

Natalia tidak mahu memandang lagi. Seluruh sudut rumah itu mengerikan baginya. Cebisan daging merata rata, juga tulang yang diletak sebagai hiasan di setiap sudut rumah bercat putih merah itu. Merah dengan darah. Tiba tiba, dia menjerit kuat. Terpekik pekik seperti diserang histeria apabila melihat sebuah kerusi rotan di ruang tengah. Ada mayat di atas kerusi tersebut! Mayat yang kelihatan sedang mereput, mengerekot kemas di atas kerusi, dan matanya bagai memandang tepat pada Natalia. Natalia bungkam.

------------------------------------------------------------------
Lampu terbuka tiba tiba, lalu Natalia memandang siling, kejutan demi kejutan diterima. Yang dipandangnya bukanlah lampu kalimantang atau pendaflour, tetapi lampu hiasan bermentol tiga yang terletak kemas pada tiga kepala, ya, kepala yang masih mempunyai wajah yang sempurna. Mentol menyala memancar di dalam mulut mereka. Tiga wajah itu pucat dan mata mereka terbuka luas, membayangkan  azab yang amat sebelum kematian dahsyat. Dan tiga biji mentol yang disumbat ke dalam mulut tiga buah kepala yang tergantung itu memancarkan cahaya putih yang terang, menyilaukan mata. Natalia sudah berpinar pinar. Pemandangan aneh yang dilihatnya itu menyukarkan dia untuk berfikir waras lagi. Pening pening lalat. Dan ketika dia hampir memejamkan mata dan jatuh, tubuhnya ditahan kemas.

--------------------------------------------------------------
Bangunnya di bilik asing. Putih merah. Dindingnya dihiasi cat putih merah dengan corak yang abstrak. Darah! Bau tengik segera menusuk hidung comelnya, dia sesak nafas. Dia menoleh. Di sebelahnya terbaring lelaki pujaan hati, Ray. Terbaring tanpa baju. Hanya boxer melekat di badan. Dia menggoncang kuat tubuh tidak bergerak si Ray. Disedarinya tangannya terikat kuat. Digari di kepala katil. Setelah beberapa kali mencuba, Ray bangun dengan malas. Pejam mata. Buka mata. Pejam. Buka semula.

“Sayang, kamu mahu yang mistik kan? Kamu tahu, aku penat sediakan semuanya untuk kamu. Untuk kamu. Kerana aku terlalu cintakan kamu. Aku turutkan semua kehendak kamu. Kamu tahu mistiknya di mana?”
Tangannya mengusap lembut pipi putih Natalia. Dengan pisau belati miliknya. Usapan itu menghiris pipi cantik gebu itu, mengalirkan darah merah pekat.

“Kamu tahu, apabila aku tidak ada di rumah nanti, mereka yang akan menemani kamu. Roh roh mereka bergentayangan di sini, masih tidak tenang, kerana mayat mereka masih ada di sini. Di merata rata dalam rumah ini. Jadi, mereka akan menemani kamu. Kamu suka kan sayang?” Sengihnya lebar, menakutkan Natalia yang bingung memikirkan.

“Kamu juga mahu yang aneh kan? Yang tidak ada di rumah orang lain. Kamu lihat, semua yang aku lakukan ini ada di rumah orang lain? Ada? Ada?” Jerkahnya kasar sambil menarik kasar rambut ikal mayang Natalia. Segumpal rambut dalam genggaman tangan Ray terlepas ke lantai. Natalia menjerit ketakutan.
“Dan kamu mahu syurga bukan? Kamu mahu syurga ya. Ha ha ha! Kamu tahu kan syurga itu hanya ada setelah kita menghadapi kematian. Tahu kan. Kamu mahu syurga? Mahu?” Ray berkata perlahan sambil tersenyum lebar. Sebelum Natalia sempat berkata apa pun, termasuk perkataan jangan,
Bang!Bang! Bang!

Jantungnya tersembur keluar. Pecah. Darah merah terpercik ke merata rata tempat, dinding dan setiap inci master bedroom tersebut, termasuk tubuh Ray. Jasad hancur itu terkeluar ususnya dan segala isi perut yang ada, milik Natalia, hingga tak dapat dikenal pasti lagi yang mana satu bahagian sebenarnya.
Hilai tawa yang kuat kedengaran bergema di segenap bilik, dan lima minit kemudian,
Bang!Bang! Bang! Arggggh!

Monday, April 9

List buku yang aku mesti habiskan baca sebelum cuti midsem habis.

1. Amerika by Ridhwan Saidi
2. Rojak
3. Mautopia
4. Ngeri
5. Dendam
6. Pecah
7. Zombijaya
8. Perjuangan Mahasiswa
9. Menakhoda Zaman by Najib Tun Razak
10. Mahathir vs. Abdullah Covert Wars & Challenged Legacies
11. Japanese Tales and Legends
12. Obama: Antara Islam, Israel dan Amerika

haihh. banyak sungguh. -.-

rindu.

Aku rasa macam dia itu bagai seorang abang bila dia usap kepala aku. Aku biar. Aku diam tidak berkutik. Kerana rasa selesa berdetik. Ya, sebenarnya aku rindu abang itu. Rindu yang amat sangat.

Padan Muka.

Dahulunya kau lantang mengkritik
Tapi kini kau ikut langkah aku dari titik ke titik
Kau gapai tangan aku
Kau ambil hati aku

Aku juga dulu benci membentak
Kini mula mengikut rentak
Seiring mengatur langkah
Sama sama menjaga biar tak salah

Sebenarnya aku tak mahu begitu
Aku punya masa depan sendiri
Yang aku mahu tuju
Kau cuma mengganggu
Kau hentikan usaha aku
Kau halang perjalanan aku

Dendam itu telah terbalas
Aku buat dengan rasa puas
Langkah kau aku rampas aku kebas
Aku tentukan dengan cara keras

Aku cuma mahu cakap
Padan muka
Kau sudah masuk perangkap
Kau sudah tertangkap
Oleh si gadis yang bijak
Mengatur baris dan rangkap.



2/4/2012

Friday, March 2

entri tiada tajuk.

Riana tersenyum. Matanya melirik tepat pada wajah budak lelaki itu. Budak lelaki itu darjah enam. Budak kelas belakang. Tentunya tidak pandai seperti dia. Dia pandai. Selalu dapat nombor dua atau tiga dalam kelas. Dia budak kelas pertama. Riana tahu, walaupun budak lelaki itu bodoh, dia suka melihat budak lelaki itu senyum. Senyum budak lelaki itu manis sekali.

Mereka selalu katakan dia aneh kerana bergaul dengan budak kelas belakang. Dia hairan, kenapa kepandaian dijadikan ukuran untuk berkawan? Dia tidak kisah langsung kerana walaupun mereka kelihatannya bodoh bodoh alang, dan memang bodoh dalam bahasa kasarnya, tetapi dia suka kerana mereka tidak sombong. Mereka melayannya bagai kawan kawan sendiri. Tak ada beza. Dan sungguh, dia sudah mula suka dengan budak lelaki itu. Dia. Syafiq namanya. Dia rasa Syafiq lucu. Dan budak budak kelasnya juga lucu. Setiap hari dia lihat, mereka tidak belajar. Mereka bermain tiang, jengket jengket, dan kadangkala guli yang dibawa bersama ke sekolah setiap hari.

Seronoknya ke sekolah sekarang sudah lain. Bukan kerana mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar oleh Cikgu Osman itu seronok, bukan kerana suka memakai baju sukan, tetapi kerana budak lelaki itu. Masih sama sebabnya sejak akhir akhir ini. Kerana senyum budak lelaki itu. Syafiq.

Riana rasa, itu kali pertama dia sukakan seorang lelaki. Suka yang buatkan dia mahu terus ke sekolah, dan mahu terus memandang si pencuri hati kanak-kanak kecil sepertinya.

Setahun lebih berlalu. Riana masih seronok ke sekolah. Masih suka mengayuh basikal masuk ke sekolah melalui jalan belakang. Masih suka memandang kelas di hujung koridor dengan hati berbunga bunga. Masih suka berdiri di koridor setiap kali rehat, dan memandang satu figura yang punya senyum comel. Dia tidak pernah jemu lakukan itu sejak setahun lebih yang lalu.

Hari itu, 23 Januari. Waktu itu dia sedang mengemas beg. Kelas terakhir baru saja tamat lima minit yang lalu. Riana menyeret kaki lambat lambat ke tangga, matanya memerhati ke hujung, kelas 6 Kreatif. Kelas belakang. Hampa. Syafiq tidak ada. Ke mana dia hari ini? Riana lalu berjalan lambat turun tangga, dan matanya masih tak lepas dari pintu kelas itu. 

Turun tangga, dia berhenti di depan pagar kawat hijau, memerhati jalan belakang. Aneh. Dilihatnya Syafiq dengan basikal buruk merahnya di hujung jalan, melambai lambai sambil tersenyum manis. Riana terpempan. Bibirnya menyungging senyuman manis juga untuk dibalas kepada Syafiq namun sudah tidak ada sesiapa di jalan belakang sekolah itu. Aneh. Baru tadi dia nampak.

Jumaat berlalu pergi. Bosan. Riana tidak sabar hendak ke sekolah. Sudah tidak betah di rumah. Rindu hendak berbalas senyuman dengan Syafiq lagi. Dia baring atas katil satu tingkat bersaiz permaisuri. Berkeriut keriut bunyinya. Telinganya menangkap satu suara. Bukan. Dua suara. Bukan. Satu nama sebenarnya. Syafiq! Dia bingkas bangun dan berlari ke pintu. Terdengar suara abah dan mamanya berbual, ditemani seteko air teh pekat, dua cawan putih vantage dan sepinggan pisang goreng hangat. Dia diam. Sungguh dia tidak pernah mendengar mama dan abahnya berbual, tapi kali ini, nafasnya turun naik cepat. Bagai baru berlari pecut dalam larian sukan sekolah. Juga seperti ketika nafasnya turun naik tika Abang Jih bawa kereta melebihi 140 kilometer sejam, melalui jalan kampung Tok Besah yang banyak lembu berkeliaran. Riana baring semula selepas lima minit. Dicubit pipi kanan yang pejal. Sakit. Dicubit pipi kiri. Sakit. Ditepuk paha putihnya. Juga sakit. Dia menggeleng. Bukan.Tidak ada apa apa agaknya. Cukup lima minit, matanya mula terpejam. Tidurnya lena sehingga pukul enam petang. Terjaga. Dia mimpikan sungai. Dia nampak Syafiq bermain wau di tepi sungai. Dia nampak Syafiq tongkatkan basikalnya di tepi tebing. Tapi, mana kawan kawannya? Syafiq tidak pernah bermain sendirian. Mana Zukfikri? Mana Hafiz? Mana yang lain? Dia tersenyum sumbing mengingatkan mimpi itu dan tidur semula.

Riana bangun keesokan paginya dengan mata sembab. Terlebih tidur. Selepas mandi dan bersolat, mama menghampirinya dan berkata, “Syafiq dah tak ada.” Dia tidak faham. Tidur yang lama buatkan otaknya lambat mencerna sepatah ayat mama. Langkah perlahan diatur ke basikal di depan halaman. Dikayuh perlahan. Tanpa tenaga. Tanpa rasa. Pagi ini rasanya aneh. Mendung. Kelam. Hambar.

Di pagar sekolah, dia lihat semua orang berbisik bisik. Ada cerita sensasi. Basikal ditongkat. Jalan menghampiri satu kumpulan. Kawan kawan sekelas Syafiq. Riana berhenti. Dia teringat sesuatu. Mahu bertanya. “Betul mama aku cakap Syafiq dah mati?”. Qayyum, si pondan paling bangang dalam kelas Syafiq menjawab dengan gelak tawa hilai yang kuat,” Ya, Syafiq dah mati. Padan muka dia. Hahahahahaha. “ Bangang. Memang bodoh. Gila apa gelakkan orang mati begitu. Eh tidak, Syafiq belum mati. Kenapalah, semua orang hendak bergurau ketika ini. Baru Januari, belum April lagi. Bukannya dia tidak tahu tentang satu April itu hari April Fool.  Hari untuk kenakan orang.

Dia tidak pergi perhimpunan.  Menyorok di bawah meja guru di dalam kelas. Kenapa, dia pun tidak tahu. Dia cuma ingin jauhkan diri dari satu berita. Dia cuma tidak mahu dengar cerita itu. Bukan hanya perhimpunan, sepanjang hari dia jauhkan diri dari orang yang bercakap dalam kumpulan.  Waktu rehat datang, dia berjalan perlahan ke kelas 6 Kreatif. Mengintai dari tepi pintu. Syafiq tidak ada. Pergi makan agaknya. Kan waktu rehat. Dia tersenyum. Dia akan berdiri di depan kelas. Di koridor. Dia pasti dia akan nampak Syafiq masuk ke kelas nanti. Syafiq suka bermain di koridor selepas makan. Berlari tanpa henti. Dengan pembaris kesayangannya. Dan memukul mukul semua orang. Bergurau. Dia mahu lihat senyum manis itu.

Sudah lima minit, sepuluh minit, bayang Syafiq pun tidak kelihatan. Riana mendengus resah. Cikgu Alias sudah menunggu di bawah. Di makmal sains. Walaupun cikgu Alias abang iparnya sendiri, dia tidak berani lambat. Rotan di tangan cikgu itu sudah cukup buatkan dia kecut perut. Cepat cepat dia berlari ke dalam kelas, capai buku teks sains dan buku latihan, langsung berlari ke bawah. Ke makmal sains. Oh, dia orang terakhir yang masuk ke makmal. Cikgu Alias memandangnya sepi. Entah apa yang berlaku. Semua orang macam memandang dia aneh hari ini. Dia tidak peduli. Buku teks dipandang kosong. Tiada apa yang masuk ke otaknya pada waktu itu.

Kelas terakhir tamat. Beg di atas kerusi biru ditarik kuat dan digalas kasar. Langkah diatur. Dia mahu tunggu di tepi pagar hijau lagi. Mahu melihat Syafiq melambainya lagi. Dua hari lepas, seronok benar dia. Kali ini, dia mahu membalas lambaian itu cepat. Biar Syafiq lihat senyuman manis dia. Tunggu lima minit, Syafiq belum muncul. Peluh sudah menitik nitik. Kaki sudah lenguh berdiri. Syarfina datang menghampiri. “Tunggu apa?”. “Tak ada apa apa.” Syarfina menarik tangan Riana. Direntap kuat. “Jangan kacau aku. Pergi balik dulu. “ Syarfina cuma mengangkat bahu. Jalan tidak menoleh lagi. Marah barangkali. Biarkan. Hatinya tidak tenteram.

Sudah dua puluh minit. Dia buat keputusan pulang ke rumah. Petang ini ada latihan sukan. Untung untung Syafiq ada. Walaupun tidak masuk apa apa, tapi Syafiq suka merayau di depan sekolah dengan basikal merah buruknya. Dengan kawan kawan yang bodoh bodoh alang itu. Dengan Zulfikri. Dengan Hafiz. Jadi Riana ingin pulang dulu. Letih menunggu.

Petang itu, selepas latihan sukan, Riana ingin tunggu lagi. Jam sudah 6.30 petang. Mundar mandir di pagar sekolah. Sekejap sahaja, fikirnya. Mungkin Syafiq lalu nanti. Amira, kawan sekelasnya menghampiri. “Sudah tengok paper?Metro. Ada berita pasal Syafiq.” Dia tak tunggu lagi. Dengan poket seluar kosong tak berisi, dia kayuh laju laju pulang ke rumah. Laju. Badannya basah dek peluh. Bukan hanya badan, pipinya juga basah. Meluru masuk ke dalam rumah. Capai duit syiling, entah berapa dan meluru keluar. Mama jerit dari dapur. Entah apa dia sudah tidak dengar. Kedai Hasan dituju. Dikayuh selaju yang boleh. 6.45 petang. Dia nampak Harian Metro. Tinggal satu. Basah tangannya ketika menghulurkan duit syiling. Dia sudah tidak peduli lagi. Basikal terhoyong hayang dikayuh. Kali ini perlahan. Pandangannya kelam. Kabur. Tapi dia tidak berhenti. Terus berkayuh.

Riana rasa rumahnya sepi. Masuk ke bilik dan menghempas pintu. Tangan terketar ketar. Diselaknya halaman dua. Direnung tajam. Dibaca satu satu aksara. Dia lemas dalam ombak perasaannya sendiri. Dia baru darjah lima. Darjah lima. Tapi dia sudah faham apa itu erti cinta. Belum dibaca habis, pandangannya gelap. Kertas surat khabar itu basah lencun. Lagu dendangan Hijjaz ‘Kau Sahabat Kau Teman’ berkumandang di ruang dapur. Mama berdiri di ambang pintu biliknya. Memandang sayu. Kertas basah itu dicapai.
Murid Darjah Enam Lemas.

 Nota kaki:

Muhammad Syafiq Mohd Daud lemas ketika membuat wau di tepi sungai. Jatuh ke dalam sungai kerana kakinya tersekat ke dalam pasir jerlus di tebing sungai. Dan mati kerana buluh halus yang ingin digunakan untuk membuat wau tercucuk ke lehernya sendiri ketika sedang bertarung dengan pasir jerlus dan air sungai deras. 

25 Januari 2003. Sabtu. Takziah. Al-Fatihah.

Monday, February 27