Saturday, August 4

.....................


Lelaki itu berpakaian santai, duduk di kerusi batu di tepi Masjid Biru. Dia melihat ke kiri ke kanan, lihat gadis-gadis berjubah dan bertudung labuh. Ah cantiknya, fikirnya dalam hati. Tunduk semula setelah beberapa saat, menjaga pandangan barangkali.  Sekali lagi, dia berkira kira mahu memandang sekeliling, melihat apa yang boleh dilihat. Ah, tunduk semula.

 Dia mengangkat kepala. Seorang lelaki kelihatannya berusia tiga puluhan duduk di tepinya. Keras bunyinya gaya duduk itu. Memegang gitar, dengan selipar jepun dan jeans koyak di lutut, dipandangnya jelik lelaki itu. Entah siapa, singgah masjid tetapi tak solat pun. Inilah dunia akhir zaman, masjid hanya tempat melepaskan lelah. Keluhnya, juga berbunyi keras.

Kedua dua mereka diam. Sepi berbunyi. Akhirnya, si lelaki alim memulakan bicara.

“Buat apa di sini? “

“Ah, takkan main boling pula di sini.” Angkuh bunyi jawapannya.

“Marah bunyinya. “

“Tidaklah. Seronok. “

Lelaki alim diam. Ah, bukan jenis boleh dibawa bersembang ni.

“Kau pula buat apa di sini?”

“Aku? Tentulah baru lepas solat. Takkan datang sini nak menari pula. “ Dipulangkan paku buah keras.

“Aku agak, kau mesti parti PAS kan? “

Ah, soalan apa pula ni, fikirnya pantas.

“Mestilah, aku kan orang Islam.”

“Oh ya? Jadinya parti yang lain itu bukan Islam? Mereka sembah tuhan apa ya?”

“Tidaklah begitu. Cuma aku di pihak yang benar. “

“Oh ya? Nama kau dah ada di pintu syurga? “

“Manalah aku tahu, itu bukan urusan aku. “

“Jadinya, siapa yang mengatakan kau di pihak yang benar? Oh agaknya buku amalan kau dah diangkat. Kanan sahaja diberinya. Pastilah begitu kan. “

“Engkau ini siapa?”

“Aku? Orang yang hina. Kau sudah ada teman wanita? “

“Bercinta itu haram hukumnya.”

“Engkau ini bertuhankan apa? Siapa pula yang cakap bercinta itu haram?”

“Tentulah. Cinta itu membawa kepada kelalaian dan menghampiri zina. “

“Bodoh juga engkau. Selama ini untuk apa kau sembah tuhan itu? Bukan kerana cinta? Untuk apa kau tunduk bangun mengerjakan perintah-Nya? Bukan juga kerana cinta? “

“Tentulah cinta. Cinta kepada Allah dan Rasul itu lain daripada cinta kepada manusia. “

“Engkau ini sungguh bodoh. Rasul juga manusia. Engkau sebenarnya tahu atau tidak definisi cinta itu?”

Diam tidak berkutik.

“Engkau pasti belum berkahwin, dan engkau pasti mahu berkahwin awal, kononnya untuk mengelakkan zina. “
“Tentulah. Kahwin muda dapat mengelakkan zina. ”

“Tak faham juga aku. Lelaki berlagak alim ulama seperti kau ini niat berkahwin untuk mengelakkan zina. Bagaimana orang-orang seperti kalian yang kononnya alim warak ini boleh terjerumus kepada zina? Bukankan hidup kalian kerana tuhan semata? Bagaimana orang seperti aku tidak mahu berkahwin awal sedangkan aku ini lebih mudah terdedah kepada zina? Bagaimana kalian fikir yang kalian akan melakukan zina sedangkan kalian sangat menjaga segala-galanya? Aku tahulah sekecil kecil ingatan kepada wanita juga boleh dipanggil zina, tetapi itu dengan hadirnya nafsu. Apakah kalian ingin berkahwin hanya demi nafsu semata? Ataupun kalian tidak punya cara lain untuk mengelakkan zina selain daripada berkahwin? Bukankah puasa juga boleh mencegah itu? Atau kalian tidak mampu sebenarnya menahan nafsu kalian? Dan apa yang membuatkan kalian fikir yang tanggungjawab kalian selepas berkahwin hanya sekadar menyalurkan nafsu  dengan jalan yang halal? “

Lelaki alim bangun, meninggalkan kesan panas di atas kerusi batu di tepi Masjid Biru.

Lelaki kedua juga bangun, berjalan perlahan lalu disandarkan gitarnya di tiang masjid, menuju hadrat tuhan. Di tangannya ada plastik kuning berisi pakaian bersih. Penyamarannya selesai untuk hari itu.

13 Julai 2012.

No comments:

Post a Comment