Wednesday, February 15

untuk mama.

Penghargaan buat seorang mama.

Hari ini hari lahir seorang gadis. Tapi gadis itu tidak sedikit pun ingin orang dekati dia dan ucapkan selamat hari lahir. Tidak, dia tidak mahu itu. Dia cuma mahu ucapkan sesuatu kepada orang lain. Walaupun itu hari lahirnya, tetapi gadis itu merasa dia yang mahu ucapkan sesuatu. Untuk seorang ibu. Ibu yang dia panggil mama. Kerana ibu itu yang lahirkan gadis itu. Gadis itu sudah dua puluh tahun. Bermakna, sudah dua puluh tahun kesakitan itu berlalu, tetapi ibu itu pasti masih dapat merasakannya, kerana kelahiran gadis itu bukanlah kelahiran yang biasa dialami seperti ibu-ibu lain. Tidak sama, malah lebih menyakitkan dari semua ibu lain. Gadis itu sedar kelahirannya menyakitkan ibu itu. 

Oleh sebab itu, dia menulis warkah ini. Buat seorang ibu yang dia panggil mama. Ibu itu lahirkan dia pada 16 Februari 1992 pada pukul 10.55 pagi, dengan berat lima kilogram, dan itu yang menyakitkan ibu itu. Sakit amat. Dan gadis itu tahu, ibu itu hampir tidak bernyawa kerana bertarung kerana gadis itu. Kuasa Allah, ibu dan gadis itu masih hidup melihat dunia. Dan kerana itu, gadis itu menulis warkah ini.

Gadis itu belum kuat untuk bercerita pada mama.  Tentang semua yang dia rasa. Tentang semua penyesalannya. Tentang semua perasaan yang wujud kerana mama. Rasa sesal, bersalah, terharu sedih dan marah. Percayalah, gadis itu tak pernah ingin buat mama begitu, gadis itu hanya tidak tahu cara membuat mama gembira, tidak tahu caranya. Tapi sungguh, gadis ini bukanlah sengaja mahu menyakitkan hati mama, kerana terfikirkan kesakitan itu, gadis ini sungguh rasa malu kerana jadi anak yang jahat, tetapi mama, gadis itu sungguh tak sedar. Sungguh gadis itu tidak sedar. Ketika itu, dia cuma rasa yang tinggikan suara pada mama itu tak salah, dia rasa marah mama itu buat dia menyampah, dan nasihat mama itu sunggguh buat dia rasa semua itu sampah. Gadis itu jahat. Jahat amat. Ya, dia ingat, dia pernah tinggikan suara pada mama, dia pernah tengking mama, dia selalu bantah nasihat mama, dan dia buat air mata mama tumpah sentiasa.

Sungguh, gadis itu tak sedar. Dia sebenarnya lupa itu mama. Mama yang lahirkan dia. Mama yang suapkan dia dengan air susu , yang buat dia hidup selama sudah dua puluh tahun. Mama itu juga sikatkan rambut dia, yang berjaga tengah malam bila dia tidak selesa, dan mama itu yang tersenyum tidak sampai lima minit selepas menangis kerana dia. Mama itu simpan semua rasa gundah, biarkan rasa sedih di di dalam hati, kerana dia mahu buat hari hari anaknya jadi indah. Walaupun tak mudah, dia pasrah. Biarpun sakit, dia buat tak endah. Biar apa sekalipun, mama itu buat semuanya tanpa rasa susah.

Tapi hari ini, setelah umur gadis itu sudah bermula dengan angka dua, gadis itu sedar, itu bukanlah caranya menghargai pengorbanan seorang mama. Bukan. Gadis itu bukan gadis jahat. Dia sedar, yang mama adalah segala galanya. Mama itu sungguh nyawa dia. Yang selalu ada di sisi dia. Yang selalu berikan mutiara indah untuk dia simpan. Yang selalu usap kepala dia. Yang selalu ada dengan gadis itu dan buat gadis itu rasa aman. Yang lebih baik dari seorang teman. Sungguh dia takkan buat mama itu menangis lagi. Gadis itu janji.

Terima kasih sebab lahirkan gadis itu, mama.

No comments:

Post a Comment