Sunday, December 4

ibu tua itu

ibu tua itu
berulang alik dari bilik ke bilik
di rumah kuning itu
kejutkan jasad jasad yang masih berselimutkan kulit babi
dan berulang kembali ke biliknya
menyambung semula pertemuan dengan pencipta alam

namun selepas beberapa ketika
rutin itu berulang semula
kerana jasad jasad bersaiz besar itu tidak mahu berganjak
masih di bawah keamanan selimut babi haram itu

namun
ibu tua berusia 56 tahun itu
tidak langsung rasa marah
hanya sedikit gundah
kerana matahari sudah di atas rumah
subuh juga sudah menjadi subuh gajah


tetapi
walau apa pun
dia masih tersenyum
merenung mereka dengan rasa kasih
dan mengusap kepala mereka dengan penuh kelembutan

ibu tua itu
berhenti di bilik gadis itu
anak yang masih kelihatan seperti anak kecilnya beberapa tahun dulu
oh itu aku.

aku rasakan sentuhan tangan kasar itu
tapi aku masih diam membatu
kerana aman dalam sentuhan kasih agung ibu tua itu
menyentuh dan meniup dahiku dengan tangan sejuk itu
aku dengar mulutnya gumat gamit menyebut sesuatu
aku tahu apa itu
kerana setiap hari rutinnya begitu

doa yang dia kumat kamitkan aku tidak tahu
tapi yang aku pasti
doa itu yang mengubah perjalanan hidup aku
kerana ibu tua itu mampu
mengubah yang malang menjadi senang
mengubah yang walang menjadi riang
mengubah yang susah menjadi gampang

ibu tua itu
berbisik kepada aku
bangunlah
Allah sedang murka kepada kamu
aku terkejut dan bangun
meminta ampun kepada ibu tua itu
dengan penuh rasa takut
aku langkahkan kaki menuju bilik basah itu di sudut bilik
dengan kaki berjengket
terasa dinginnya air rahmat itu turun
membasahi setiap bahagian jasad yang masih berfungsi

aku bersyukur
masih punya orang tua itu
mengingatkan aku dengan kewajipan
mengingatkan aku agar terus bertahan
dengan dugaan dan godaan
membawa aku menuju jalan lurus di depan
membawa aku menuju Tuhan
sebelum jasadku ditutup dengan kain kapan
di mana ketika itu sudah tidak punya harapan
kerana ketika itu Munkar dan Nakir sudah bersedia dengan arahan
memukul dan membantai setiap makhluk Tuhan
yang dulu tidak mahu menghargai
kasih sayang Tuhan.

dan aku bersyukur
kerana ibu tua itu
ibu aku.
dia ibu aku.

p/s: terima kasih buat mama, Rohmah binti Abd Wahab sebab kejut kakak sembahyang subuh
setiap hari. kakak sayang mama :)



No comments:

Post a Comment