Monday, December 5

taubat seorang durjana

Dia tidak tahu yang namanya malaikat maut pencabut nyawa itu tidak akan menunggu barang seminit pun untuk mecabut nyawa semua makhluk makhluk Allah sama ada ulama atau durjana. Sebenarnya dia tahu tapi dia buat buat tidak tahu. Ya, terlalu banyak maksiat berdamping dengannya, terlalu banyak air setan diteguknya, dan terlalu banyak sudah pelacur pelacur murah di pinggir Lorong Haji taib diratahnya­­­, tidak kira veteran, ayam muda, ibu ayam malah terlebih lagi yang ayu dan bergetah amat pun layu di pangkuan kasanova berdarah celaka ini.
Sebelum dia melangkah ke kotaraya yang penuh bingit tidak pernah tidur barang sekejap, siang atau malam sama sahaja rupanya, penuh dengan manusia manusia yang sangap dan gersang akan hiburan dan ingin masuk ke lembah kehinaan, dia sebenarnya bukan penghuni tetap kota sial itu.Bukan. Dia bukan sebenarnya.
     Bukannya dia tidak ingat, namanya seperti orang kampung sangat, Budin bin Kulup, asalnya juga tidak boleh dibanggakan, kampung di utara Kedah yang amat tidak nampak pembangunannya di mana, masih hijau dengan tumbuh tumbuhan dan belum tercemar oleh pembangunan dek setan setan yang gemar menghakis apa sahaja di muka, biar gondol dan rata sahaja. Ya, dia tidak sedar sebenarnya ada lima figura, sama ada yang berkedut seribu, tetapi masih mahu membanting tulang, memerah keringat, darah dan air mata di kampung itu dan berharap penuh makna akan seorang anak, jauh di mata, menghantar berita, mengirim kata, mengucap rindu dan sayang pada mereka. Dua figura itu rindu pada Budin. Mereka rindu amat pada anak yang katanya amat boleh dibanggakan itu kerana sanggup keluar merantau, mencari jawapan kepada kemiskinan yang mereka deritai selama ini. Sebenarnya anak itulah sial dan majal dalam hidup mereka, mereka langsung tidak tahu. Juga, dua figura kecil lain yang comot tanpa seluar dan baju, bermain tanah dan lumpur, mengail ikan di tepi kuala tanpa langsung ingat mereka punya abang durjana. Bukan durjana sebelum ini. Ya. Mereka masih kecil. Bukan masalah mereka. Yang mereka tahu, mereka punya ayah dan ibu yang amat sayangkan mereka. Dan seorang lagi abang yang amat mereka sayang. Salah satu figura dari lima itu, Azim namanya, dia ingat dia punya seorang abang yang sangat baik bak malaikat yang diturunkan oleh Tuhan dari langit, dia ingat abang itu yang mengajaknya ke surau saban pagi di saat remaja remaja lain masih berselimutkan kulit babi. Dia ingat abang itu yang mengajarnya membilang dan mengira menggunakan biji biji kecil getah dan saga yang mereka kutip tatkala menemani ibu bapa membanting tulang menoreh di dinihari. Dia juga ingat abang itu yang setiap hari mencari pucuk pucuk paku, ubi keledek atau barang apa sahaja yang boleh dimakan sekadar mengalas perut kerana kedaifan mereka. Dia rindu abang itu. Dia masih ingat abang itu melangkah keluar dari rumah dengan wajah mendung dan kelam sambil memohon ampun dan maaaf dari kedua ibu bapanya. Dia ingat abang itu berjanji akan kembali membawa masa depan yang lebih bererti, tidak lagi kedaifan yang hakiki. Tetapi mana abang itu? Di mana abang itu? Dia tidak tahu jawapan apa di benaknya. Tidak tahu. Titik.
Budin masih di kelab malam itu, meneguk air setan sambil dilayan betina sial murahan. Memang amat nikmat. Dia belum sedar keadaan di hari kiamat. Dengan seksaan yang maha hebat. Para ulama bermandi keringat memikirkan hari itu, tetapi dia masih lagi terlentok di bahu betina sial yang kononnya hebat, tetapi sebenarnya laknat. Nauzubillah.
Duitnya sudah habis. Manakan tidak, kerja rakyat lain mula pukul 8.30 rembang pagi, kerjanya bermula di saat matahari tegak membahang di atas kepala, dia tahu bosnya menjeling dari balik daun pintu setiap hari, tetapi dia buat muka dono, seperti tidak ada apa- apa yang terjadi. Cemuhan rakan tidak dipedulikan, cacian makian dari lelaki tua berambut botak itu tidak dihiraukan, kalau dah Budin namanya. Juga kerja yang bertimbun bagai salji di atas Gunung Everest itu juga dia buat buat tidak nampak, kalau nampak pun di hujung alis matanya sahaja. Bodoh amat Budin ini.
Dan pagi itu, tugasnya sebagai pekerja sengkek bergaji buta curi tulang busuk berakhir. Barangnya dihumban bagai kucing kurap di pinggir longkang oleh bosnya sendiri. Padan muka. Surat berhenti dari syurga kata bosnya, dan duit gaji terakhirnya berjumlah RM20.00 itu juga dilempar bagai sampah, ke muka kotornya, terkejut. Memang hanya itu yang layak untuknya. Malah bosnya juga amat baik hanya berbuat begitu. Dia keluar muka toya, serupa sahaja mukanya setiap hari dek penangan ecstacy dan pil kuda yang dimamahnya. Juga penangan betina betina sial longlai yang diratahnya di hotel bajet.
Budin bingung. Bosnya yang kelihatan alim dan warak itu sudah memasang agenda mambalas dendam keramat yang tersimpan sehingga dia tidak bisa lagi mendapat kerja lain di mana-mana, sekecil dan sehina hina kerja pun dia tidak mampu dapat, besar dan bagus malahan lagi.. Pencuci tandas pun jadilah, tetapi entah kenapa semua majikan tidak mahu menerimanya, rasanya kerana muka lelakinya yang tidak langsung nampak macho kerana seperti penagih dadah azali dan hakiki atau kerana bibirnya hitam melegam bak arang di kedai runcit Pak Mat. Rokok kan makanan rujinya. Atau kerana pakainya selekeh macam peminta sedekah di jejantas Pekan Rabu Alor Setar. Dia tahu sebabnya. Sekali lagi padan muka Budin bin Kulup.
Malang bertimpa timpa. Pulang ke rumah, beg dan barang barangnya bertaburan di tepi pagar, dia baharu sedar, sewa rumah sudah 6 bulan dikikisnya buat habisan di kelab malam Bukit Bintang, tidak ada sesen pun yang disimpannya lagi, hatta di dalam uncang, poket atau dompet. Diseluknya poket, bukan setakat tidak ada duit, malah bocor lagi. Dia mengeluh di tepi pagar. Perut berkeroncong, bunyinya tidak pasti irama apa, tetapi itu menandakan dia amat lapar. Amat.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Malam itu entah siapa siapa mengejutnya sedang lena, enak tidur di atas kerusi batu di Stesen Bas Puduraya, dengan baju hapak tak berbasuh, beralaskan surat khabar Metro lusuh, dan suasana bising, bingit bagai pengikut Baju Merah dan Baju Kuning yang sedang merusuh. Juga ditemani air air embun tua yang jatuh. Telefon bimbitnya berbunyi lagu Inggeris Neyo, Champagne Life. Nyaring. Dia mengeluh kuat, keluarkan bau busuk yang amat sangat, bagai bau keringat hangat, tetapi jauh lebih hebat. Bukan nikmat tetapi laknat. Sambil mengelap air liur basi yang meleleh tanpa henti di tepi bibir hitam melegam, dia menjawab panggilan telefon. Sial katanya. Mengganggu. Telefon itu. Hanya itu hartanya yang dia ada sekarang. Hanya itu yang dia punya di saat ini. Telefon itu diangkat dengan rasa malas. Pemanggil itu, ya, dia ingat, Josephine, salah seorang betina betina muda di kelab malam yang diratahnya. Josephine mahu berjumpa. Budin mengeluh lagi. Tidak mahu katanya. Tanpa dia sedari, kata tidak mahu itu tidak bererti lagi, kerana Josephine di belakangnya, berdiri, menunggu reaksi, jawapan akan perkara hidup atau mati. Ya, dia tidak sangka, Josephine mengandung lagi. Pil kuda dan kondomnya tidak berkesan. Sudah dua bayi mereka dihabisi. Mati di hospital swasta akibat komplikasi. Meraka tidak sedar diri. Pepatah berkata, “bukan salah ibu mengandung, salah bapa tak pakai kondom.” Nah, itulah salahnya. Ugutan dari Josephine membuat dia terkesima. Lama. Makian juga terhambur dari mulut Josephine, yang dulunya manis membuai Budin dengan ayat ayat cinta. Budin tak tahu nak kata apa apa.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Wajah wajah tua itu tenganga. Terbuka luas bagai menggamit lalat lalat hijau masuk mencari apa apa. Mereka terkesima, tergamam, entah apa lagi perasaan yang sukar digambarkan. Menyesal, marah, sedih, jijik, mereka tidak tahu mereka patut rasa apa. Anak yang dikandung, dilahirkan dengan penuh sakit, bagai diusap dengan pedang tajam di perut, dibuai buai dengan kasih sayang dan kata kata cinta, disuap dengan susu dari badan lemah seorang ibu miskin, juga makanan enak yang untuk mendapatnya, wajah wajah tua itu perlu bersengkang mata bekerja setiap hari. Anak itu di depan gobok buruk mereka yang menunggu masa untuk roboh, anak itu berdiri dengan muka sebu. Anak itu comot dan selekeh, sama seperti mereka, tetapi yang bezanya, anak itu membawa pulang seorang perempuan yang tidak seperti perempuan, bajunya bukan baju tetapi singlet merah menyala yang menampakkan pusat yang bulat dan dalam, nampak lurah dendam, hodohnya, dengan skirt hitam pendek atas paha, bertindik di hidung serupa lembu mereka, bukan setakat di hidung bahkan merata rata, ahh jahilnya, anak itu, bukan perempuan bertudung litup yang dibawanya, bukan juga perempuan sopan, baik dan lemah lembut yang dikenalkannya, mereka resah di muka pintu. Sungguhpun begitu, mulut diam berkunci. Ibu tua itu hanya memanggil mereka masuk tanpa berkata apa-apa. Meminta mereka tidur, dan memberi perempuan itu kain batik, kerana dia tidak betah melihat perempuan atau betina seperti itu memijak anak anak lantai buluh rumahnya. Tidak. Tidak pernah ada dalam keturunannya perempuan seperti itu. Tidak pernah langsung.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Malam itu, anak itu diusapnya lembut, dia sedang tidur, tidur aman seperti dia kecil dahulu. Wajahnya tidak seperti dahulu, tidak bersih seperti dahulu, tidak berseri langsung. Tidak ada cahaya langsung. Ibu tua itu menangis perlahan, air mata dari wajah tua berkedut itu diusapnya, tidak mahu anak itu terjaga kerana aliran air mata itu yang jatuh di atas muka mendung dan kotor anak itu. Ibu tua itu kesal. Kesal yang amat sangat. Anak itu. Punah sudah harapan dan angan angannya.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Pagi itu, kanak kanak yang dua orang itu hairan. Yang besar itu pun hairan. Yang kecil pun hairan. Ada seorang lelaki asing di gobok mereka. Juga seorang perempuan asing. Mereka bertolak tolak sesama sendiri. Tidak ada yang berani bertanyakan soalan itu pada ibu mereka yang sedang sibuk membuat sesuatu di dapur, dari baunya, mungkin kulit pisang rebus cicah kelapa parut. Orang Kedah memanggilnya nyior. Bertolak tolak lagi. Hairan lagi. Abang yang besar sedikit meminta si kecil itu diam. Azim. Sarapan pagi itu sunyi. Kanak kanak itu tidak bingit seperti selalu, menceritakan mimpi mereka, bergaduh dengan anak Kak Mona gemuk sebelah rumah yang inginkan patung kayu mereka. Juga tidak ada yang memuji masakan ibu mereka pada pagi itu, walaupun hanya kulit pisang rebus, mereka bersyukur amat. Masih bertuah, tidak seperti kanak kanak di Palestin. Ayah dan ibu mereka mengajar begitu. Mereka diam seratus bahasa. Hanya hujan rintik rintik yang kedengaran. Ayah mereka ada, mukanya mendung, sama seperti keadaan langit sebelum hujan. Ya, hujan itu bererti periuk nasi mereka tutup rapat. Manakan tidak, tidak boleh menoreh. Hujan lebat.Pagi itu bukan lima, tetapi tujuh tubuh yang bersila di lantai buluh pondok mereka di depan sarapan. Diam semua orang. Ayah itu tidak bercakap, ibu mereka tidak, dua orang asing itu juga tidak, tetapi kanak kanak itu sedar, walaupun mukanya lain, tetapi lelaki asing itu abang mereka. Ya, abang mereka. Budin bin kulup. Betul.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mereka bagai orang asing di rumah itu. Tidak ada yang mahu bercakap dengan Budin. Tidak mengapa, dia sedar itu. Dia sedar mereka jijik dengannya, ya, dia penuh dengan dosa. Penuh maksiat. Perempuan itu, Josephine juga diam. Sejak hari pertama, dia mula memakai kain batik dan baju kemeja lengan panjang, milik ibu tua itu. Dia cintakan Budin. Dia sanggup menanggung hidup seperti itu. Dia sanggup menanggung malu itu kerana cinta. Lagipun mereka punya anak. Dan anak itu milik mereka berdua. Benih cinta hasil hubungan terlarang mereka.
------------------------------------------------------------------------------------------
Malam itu, Budin terjaga. Matanya terbeliak. Dahinya penuh keringat takut, meleleh dari dahi sehingga kaki. Dia bermimpi lagi. Sudah tiga hari berturut turut dia di dalam kotak sempit itu. Sakit. Kotak itu menghimpit tulang rusuk, belikat dan segala tulang temulang yang dia punya. Kotak itu penuh dengan ulat ulat dan ular besar amat yang tidak pernah seumur hidupnya dia lihat. Tidak pernah. Bukan itu sahaja, kotak sempit itu penuh dengan dengan air yang amat busuk, nanah, darah dan air liur entah siapa siapa. Dia terkapai kapai lemas di dalam kotak itu. Tambahan pula, suara bagai halilintar yang maha hebat menyentak telinga lelakinya. Dia takut. Dia memanggil ibunya bagai nak gila. Meronta ronta dengan suara amat kuat tetapi tiada siapa yang mendengar. Dia tahu itu suara malaikat Munkar dan Nakir, memanggilnya dengan cara yang dahsyat sekali. Dia sudah di alam abadi. Tiada guna menyesal lagi.
Ahh, tidak. Bukan. Dia terjaga. Dia hanya bermimpi. Dia menggeletar. Pagi itu, sekali selepas lama sekali, dia bangun di tengah kedinginan dinihari pari, melangkah ke kotak empat segi di belakang rumah. Bilik air buruk dan kotor milik penghuni gobok itu. Dengan insiden dahsyat yang masih terngiang ngiang di telinga dan kotak memori, dia mengambil wuduk dengan rasa rendah diri. Dari kepala ke kaki. Melangkah mengambil sejadah di lipatan dalam almari yang sudah berhabuk dek lama tidak terusik. Dan dia tergamam. Dia lupa cara solat. Dia tergamam lagi. Air matanya mengalir laju. Dia sudah tidak sedar apa apa.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bangunnya di katil putih yang asing. Putih. Kipas berpusing laju. Dia menoleh sekeliling. Ada kertas di atas meja di tepi katil. Ya, dia tergamam lagi. Simbol tambah di hujung kanan kertas mendedahkan sesuatu. Ya, positif. Sesal lagi menyentak bentaknya.
Malam itu, bersaksikan bulan, ayah, ibu tua itu, adik-adik kecilnya, juga Josephine, Budin menangis bagai anak kecil inginkan aiskrim, sesal menghuni hati, rasa terhina sekali. Dia menangis kuat sekali. Rasa malu dalam hati. Semua sudah tahu. Mereka diam. Bagai sudah mati. Wajah wajah tua itu sepi. Tetapi benaknya lega. Budin lihat masih ada rasa sayang mereka padanya. Tidak, mereka sayang padanya. Masih. Adik kecilnya yang 5 tahun itu merapati, memegang kakinya yang berkudis dan berdaki, berdarah, luka luka banyak sekali kerana penangan penyakit maut itu, kerana tidak cukup antibodi menahan diri. Adik kecil itu mencium dahinya. Rupanya adik kecil itu mengerti. Agaknya adik kecil itu tahu dia bakal dijemput Ilahi. Masa sudah tidak cukup lagi. Melihat itu, mereka yang lain mengikut. Juga ibu bapanya. Terharu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Budin terjaga, dia takut, peluh dingin mengalir perlahan di dahi. Dia tahu, masanya tidak lama lagi. Dia memandang ibunya di hujung kaki, sedang sujud lama di lantai buluh itu, berdoa dan mengharap dengan sepenuh hati. Usai solat, ibunya merapati. Melihat bening ke anak mata Budin.
“Ibu dah ampunkan segala-galanya. Ibu dah ampunkan. “
Kata-kata itu menyentak hati Budin. Dia gembira mendengar itu. Air matanya mengalir laju. Tubuhnya menggeletar, menanti malaikut maut datang menjemput. Sakit saat itu. Sakit sekali. Bagai dipenggal dan kulit disiat siat dengan pedang tumpul. Dia nampak ibunya menangis dan memanggil orang lain. Dia nampak adik kecilnya memegang Yasin. Dia nampak ayahnya menutup seluruh badannya dengan kain batik lepas yang lusuh. Dia nampak. Tetapi dia tidak mampu menjawab apa-apa. Dia hanya mampu melihat. Sudah terpisah roh dari jasad. Sudah.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Orang ramai memenuhi gobok buruk itu. Imam tidak membenarkan. Takut runtuh katanya. Ibu tua itu sedih. Ada perasaan sayu dihatinya. Anaknya mati dengan penyakit itu. Dia tidak sangka. Walaupun orang-orang kampung tidak tahu. Tetapi dalam hati dia malu. Tiada siapa yang dapat melihat jasad anaknya. Semua kerana bahana penyakit itu. Imam pula terlalu bijak memberitahu. Tidak mahu membuka pekung di dada. Memang benar.
Ibu itu menangis lagi. Saat jasad anak itu ingin dimandikan, ibu tua itu lihat tukang mandi terkejut. Dia meluru masuk ke dalam bilik mandi. Plastik hitam dibuka. Berhati-hati. Bukan indah khabar dari rupa, tetapi memang indah. Dia menutup mulut. Jasad anaknya sangat lain.Bersih. Bukan jasad yang rosak dengan penyakit HIV itu. Bukan. Bukan. Dia mengelip. Buka semula. Ya, itu anaknya. Jasad itu sempurna. Sudah tidak ada kudis-kudis di badan. Juga luka-luka. Wajah itu putih dan bersih. Bercahaya. Dia mengucap syukur. Sujud lama sekali. Ya, itu petanda baik.

diletak semula dari blog lama. rindu kerana ini karya pertama aku. terima kasih.

No comments:

Post a Comment